KUALA LUMPUR, 12 Disember - Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai dalam sistem perbankan dianggarkan sebanyak RM38.06 bilion dalam pasaran konvensional manakala dana Islam berjumlah RM26.52 bilion.
BNM akan melaksanakan dua tender repo berbalik berjumlah RM1.0 bilion dan RM1.5 bilion dengan tempoh tujuh dan 31 hari.
Bank pusat itu juga akan mengendalikan dua tender repo berbalik Islam masing-masing berjumlah RM100 juta setiap satu bagi tempoh 31 dan 90 hari.
Selain itu, BNM turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar untuk tempoh satu minggu, satu bulan dan tiga bulan.
Pada 4 petang, BNM akan menjalankan tender semalaman konvensional sehingga RM40.6 bilion dan tender semalaman Murabahah bernilai RM26.7 bilion. -BERNAMA