KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Kerajaan terbuka kepada cadangan untuk memperkenalkan perintah kekayaan tidak dapat dijelaskan atau Unexplained Wealth Order (UWO).
Bagaimanapun, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia perlu dikaji secara menyeluruh terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat pelaksanaan atau pembentangan di Parlimen.
"Saya rasa idea-idea yang bernas seperti ini kita akan kaji dulu sebelum kita terburu-buru untuk melaksanakannya. Dalam hal ini, saya terima cadangan untuk melihatnya dan kita akan meneliti perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan di ibu negara, hari ini.
Setakat ini tiada perancangan khusus untuk memperkenal undang-undang tersebut dalam masa terdekat, susulan ia masih dalam proses memahami isu itu secara menyeluruh.
"Kita tak mahu langkah yang diambil nanti membawa kesan yang tidak diingini. Yang penting, kita fahami isu ini dengan betul," jelasnya lagi.
UWO merupakan perintah mahkamah yang diperkenalkan di United Kingdom menerusi Akta Kewangan Jenayah 2017.
Ia membolehkan pihak berkuasa mengarahkan individu untuk menjelaskan sumber kekayaan mereka yang disyaki diperoleh secara haram atau tidak sepadan dengan pendapatan yang dilaporkan.