fb fb fb fb fb

Kerajaan fokus optimum perbelanjaan, tingkatkan hasil

Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Kerajaan masih mempunyai ruang untuk mengoptimumkan perbelanjaan, meskipun ada keperluan untuk meningkatkan hasil.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kedua-dua aspek itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara berterusan serta pendapatan rakyat terus meningkat.

Menurutnya pengukuhan ekonomi dan nilai ringgit ketika ini membantu mengurangkan tekanan subsidi, sekali gus memberi ruang kepada kerajaan untuk mencapai sasaran fiskal.

"Yang paling penting ialah mengimbangi semua faktor ini kerana apa sahaja keputusan yang dibuat akan saling berkait -- sasaran fiskal, inflasi, pertumbuhan dan terutamanya tekanan terhadap kos sara hidup.

"Objektif utama adalah memastikan perbelanjaan awam kita lebih mampan," katanya kepada pemberita selepas selepas pelancaran Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia ke-30 oleh Bank Dunia di sini hari ini.

Rafizi menambah langkah rasionalisasi perbelanjaan kerajaan sedang dilaksanakan secara berterusan dan sebarang pengumuman lanjut hanya akan diketahui semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat ini.

SITI AISHAH MD ISA