SEREMBAN, 4 Mei - Kerajaan bercadang mewujudkan perkhidmatan kereta api kargo yang menghubungkan terus Kuala Lumpur ke Bangkok, Thailand.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ia bertujuan meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara.
Sekaligus, mengintegrasikan ekonomi ASEAN.
"Sekiranya ada ketersambungan antara Malaysia dengan Thailand, khususnya Kuala Lumpur dengan Bangkok, maka pengembara boleh pergi ke lebih banyak negara, sehingga ke Laos, China mahupun Asia Tengah kerana ada banyak rangkaian kereta api. Ini perlu dijadikan usaha bersama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang dan pemberian insentif kepada 219 pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2024 Peringkat Parlimen Seremban di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Loke berkata, perbincangan mengenai cadangan mewujudkan perkhidmatan pengangkutan itu sudah dibincangkan bersama Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suriya Juangroongruangkit, yang juga Menteri Pengangkutan Thailand, semasa lawatan beliau ke negara tersebut.
Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet juga menyokong penuh usaha berkenaan yang dijangka dapat dimulakan tahun ini.