TAWAU, 3 Oktober - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah dijangka melonjak sehingga 5.8 peratus dalam tempoh lima tahun pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga belas (RMK13).
Timbalan Menteri Ekonomi, Dato' Hanifah Hajar Taib berkata, ia didorong oleh faktor penghasilan produk hiliran, inovasi teknologi, ekonomi hijau, biru dan digital.
"Kita nak memastikan bahawa infrastruktur itu diutamakan, kita nak memasukkan dari segi fahaman lagi mendalam tentang teknologi dan memastikan bahawa bukan saja kita berurusan dengan kerajaan, dengan rakyat saja.
"Tetapi kita nak menarikkan ia dari segi peniaga, swasta, korporat dan semua pihak kita harus bekerjasama dengan keseluruhan untuk mencapainya", katanya selepas merasmikan Jelajah Jalinan Borneo di Dataran Majlis Perbandaran di sini, hari ini.
Antara Strategi Pembangunan RMK13 di Sabah termasuklah menjadikan Tawau sebagai hab perdagangan dan perkhidmatan Pantai Timur selain memperkukuh palm oil industrial cluster sebagai hab agrokomoditi dan logistik serantau di Lahad Datu.
Tambah beliau, selain memperkasa pelancongan marin dan konservasi terumbu karang di Semporna serta Mengangkat Kalabakan sebagai pusat logistik dan perdagangan sempadan ke Nusantara, Indonesia.
"Tumpuan khusus bagi empat kawasan ini amat penting kepada pembangunan di Sabah secara keseluruhan bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah", katanya.