fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 dijangka kukuhkan lagi komitmen tingkat ruang fiskal

MBSB Investment Bank Bhd menjangkakan peruntukan lebih tinggi bagi Belanjawan 2026

KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan 10 Oktober ini dijangka mengukuhkan lagi komitmen kerajaan untuk mempertingkat ruang fiskal.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB), defisit fiskal telah berkurangan lebih dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak 2021.

Pengurangan itu memberi ruang kepada kerajaan untuk memperkenalkan sebarang langkah rangsangan sekiranya ekonomi berdepan cabaran pada masa akan datang.

Bank pelaburan itu menjangkakan peruntukan lebih tinggi bagi Belanjawan 2026, sekitar RM430 bilion berbanding RM421 bilion dalam Belanjawan 2025.

“Kami menganggarkan saiz defisit fiskal akan berkurangan kepada RM78 bilion pada 2026 bersamaan 3.6 peratus daripada KDNK pada 2026, dengan andaian bahawa pertumbuhan ekonomi kekal sederhana pada 4.0-4.5 peratus,” kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya hari ini.

Tambahnya, strategi fiskal dalam belanjawan akan datang perlu memberi tumpuan kepada pengembangan cukai semasa, yang didorong oleh keperluan untuk mengimbangi perbelanjaan mengurus yang semakin meningkat dan unjuran penguncupan dalam hasil berkaitan petroleum pada 2026.

Dari segi harga minyak, MBSB IB mengunjurkan purata harga minyak mentah Brent kekal stabil antara AS$65 hingga AS$70 setong pada 2026.

''Bagaimanapun, terdapat kecenderungan penurunan disebabkan potensi lebihan bekalan dalam pasaran minyak global.

“Selain itu, kami menjangkakan dividen Petronas kepada kerajaan Malaysia akan dikurangkan lagi pada 2026 daripada kira-kira RM32.0 bilion masing-masing pada 2024 dan 2025,” katanya.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ