fb fb fb fb fb

KDN tandatangani kontrak lebih RM2 bilion

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 8 Mei - Sejumlah 14 kontrak berimpak tinggi dengan nilai keseluruhan lebih RM2 bilion ditandatangani Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024. 

Ia membuktikan kerajaan komited dalam memastikan aset keselamatan negara berada pada mod kesiapsiagaan tinggi. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesemua kontrak yang ditandatangai itu jelas menunjukkan dokongan KDN terhadap agensi-agensi bawah pentadbirannya dalam memastikan aspek keselamatan menjadi agenda utama negara.

"Itu menunjukkan bagaimana KDN memposisikan polis sebagai satu agensi yang penting diberikan sokongan terutama bagi memastikan tahap siap siaga mereka dan itu dilihat daripada segi besarnya peruntukan pembangunan yang diperolehi pasukan polis," kata Saifuddin.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak KDN sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2024, di sini.

Memorandum persefahaman (MoU) dan kontrak itu ditandatangani Ketua Setiausaha KDN, Datuk Haji Ruji Haji Ubi bersama wakil syarikat tempatan dengan PDRM menerima perolehan tertinggi dari nilai keseluruhan sebanyak RM1.5 bilion.

Antara kontrak berimpak tinggi ditandatangani ialah perolehan Kapal Pengangkut Kelas Police Vessel Pelbagai Kegunaan Sebagai Pengangkut Barang, Kapal Induk dan Latihan bagi Polis Diraja Malaysia dan Perolehan Empat Buah Helikopter Medium Lift bagi Maritim Malaysia. 

Majlis berkenaan juga adalah simbolik usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan negara terpelihara daripada segala ancaman dengan mengutamakan perolehan aset strategik. 

Disamping itu, ia juga mendukung tema Pameran DSA dan NATSEC 2024 iaitu 'Membina Ketahanan Negara Untuk Generasi Masa Hadapan'.

Dalam pada itu, KDN akan bertemu wakil kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi menyampaikan pendirian rasmi negara berhubung isu dakwaan peningkatan pindahan dana ke Iran dan proksinya, termasuk Hamas menerusi sistem kewangan di Malaysia.

Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan AS, Brian Nelson mengadakan kunjungan ke Malaysia dalam usaha memerangi pembiayaan dana terhadap Iran dan kumpulan proksinya serta mengelak sekatan terhadap Russia.

Saifuddin berkata, beliau akan berjumpa dengan Nelson bagi mendengar sendiri perkara yang ingin disampaikan.

"Saya akan memberikan penjelasan ataupun official position kerajaan tentang perkara yang dibangkitkan dan itu akan berlaku pagi esok," katanya.

Nelson dijangka membincangkan kebimbangan AS dan risiko sekatan yang ditimbulkan kegiatan sedemikian.

TETITIA YUSOFF