fb fb fb fb fb

Kapasiti penggunaan industri pembuatan capai 82.5 peratus

Semua subsektor mencatatkan kapasiti penggunaan melebihi 80 peratus, termasuk produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam/Foto FB DrUzir Mahidin

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Kapasiti penggunaan industri pembuatan mencatat 82.5 peratus pada suku kedua 2025, meningkat 0.4 mata peratus berbanding suku sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, semua subsektor mencatatkan kapasiti penggunaan melebihi 80 peratus, termasuk produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam.

“Pada suku kedua ini, kadar tertinggi direkodkan oleh subsektor produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam pada 83.5 peratus, meningkat 1.2 mata peratus.

"Ini diikuti subsektor makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 2.8 mata peratus kepada 83.3 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, secara suku tahunan, kapasiti penggunaan industri pembuatan turut meningkat 0.7 mata peratus, sejajar dengan prestasi Indeks pengeluaran perindustrian sektor pembuatan yang bertambah 0.4 peratus dalam tempoh sama.

Peningkatan tahun ke tahun juga direkodkan secara konsisten sepanjang suku kedua 2025, iaitu pada April sebanyak 81.1 peratus, diikuti Mei (82.9 peratus), dan Jun (83.6 peratus).

Bagi industri berorientasikan eksport, kapasiti penggunaan naik 0.3 mata peratus kepada 81.6 peratus berbanding suku sama 2024.

“Kadar tertinggi dicatatkan dalam subsektor pembuatan jentera & peralatan sebanyak 88.8 peratus dan pembuatan perabot sebanyak 87.1 peratus,” jelasnya.

Bagaimanapun, tiga subsektor merekodkan kapasiti penggunaan di bawah 80 peratus berbanding suku pertama tahun ini, iaitu pembuatan kayu & produk kayu serta gabus (kecuali perabot), pembuatan artikel jerami dan bahan anyaman.

Sementara itu, industri berorientasikan domestik meningkat 0.7 mata peratus kepada 84.4 peratus pada suku kedua 2025.

“Kebanyakan industri dalam segmen ini mencatat kapasiti penggunaan yang tinggi, terutamanya pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler (88.2 peratus), diikuti pembuatan produk prosesan makanan (86.1 peratus),” katanya.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI