PUTRAJAYA, 8 April - Kadar pengangguran pada Februari kekal 3.3 peratus, mencatatkan bilangan penganggur yang lebih rendah iaitu 567,000 orang.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kedudukan tenaga buruh kekal stabil selaras dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa.
"bilangan tenaga buruh pada bulan itu terus merekodkan peningkatan bulan ke bulan, dengan pertambahan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.07 juta orang berbanding 17.05 juta orang pada Januari.
"Kadar penyertaan tenaga buruh bulan Februari kekal pada 70.2 peratus seperti yang direkodkan pada bulan sebelumnya," katanya menerusi kenyataan.
Selain itu, Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja terus meningkat dengan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.51 juta orang berbanding 16.48 juta orang pada Januari 2024.
Dari segi sektor ekonomi, beliau berkata trend peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, dapat dilihat merentasi kesemua sektor.
"Untuk tempoh akan datang, kedudukan pasaran buruh dijangka terus berkembang disokong permintaan berterusan terhadap guna tenaga.
"Permintaan domestik yang kukuh, berikutan perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan juga dijangka menyokong aktiviti pengambilan pekerja," katanya.