KUALA LUMPUR, 4 April - Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai dalam sistem konvensional meningkat kepada RM26.95 bilion berbanding RM26.64 bilion pada pagi ini manakala mudah tunai dalam dana Islam merosot kepada RM20.44 bilion daripada RM23.46 bilion.
Terdahulu hari ini, bank pusat menawarkan dua tender pasaran wang konvensional, dua tender repo berbalik dan satu tender Qard serta mengumumkan pengeluaran Bil Islam Antara Bank Bank Negara (BNIBI) yang akan datang.
Bank pusat turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar untuk tempoh satu dan tiga bulan.
Pada 4 petang, bank pusat menjalankan tender pasaran wang konvensional bernilai RM26.90 bilion dan tender pasaran wang Murabahah bernilai RM20.40 bilion, kedua-duanya bagi wang sehari.
Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.00 peratus setakat 3 April. - BERNAMA