KUALA LUMPUR, 2 Oktober- Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai dalam sistem konvensional meningkat kepada RM41.65 bilion daripada RM40.29 bilion pagi ini manakala dana Islam susut kepada RM17.21 bilion daripada RM18.27 billion.
Terdahulu, bank pusat menawarkan tender repo berbalik Islam, tender repo berbalik dan tender repo berbalik semalaman.
BNM juga mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli balik serta kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar dengan tempoh satu dan tiga bulan.
Pada 4 petang, bank pusat menawarkan tender pasaran wang konvensional bernilai RM41.60 bilion dan tender pasaran wang Murabahah bernilai RM17.20 bilion, kedua-duanya untuk tempoh matang sehari.
Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.00 peratus setakat 1 Okt, 2024.- BERNAMA