KUALA LUMPUR, 6 Mei - Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai dalam sistem konvensional meningkat kepada RM31.09 bilion daripada RM22.34 bilion pagi ini manakala dalam dana Islam, ia naik kepada RM23.90 bilion daripada RM23.11 bilion sebelum ini.
Terdahulu, bank pusat menjalankan dua tender repo berbalik, satu tender repo berbalik Islam dan satu tender repo berbalik semalaman.
BNM turut menyemak semula tender semalaman konvensional daripada RM29.0 bilion kepada RM31.1 bilion.
Ia turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan murabahah komoditi bercagar dengan tempoh seminggu, satu bulan dan tiga bulan.
Pada 4 petang, BNM menawarkan tender pasaran wang konvensional bernilai RM31.10 bilion dan tender pasaran wang murabahah bernilai RM23.90 bilion, kedua-duanya bagi tempoh matang satu hari.
Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.00 peratus pada 5 Mei. - BERNAMA