fb fb fb fb fb

Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil

BANK NEGARA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 9 Ogos- Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil pada Jumaat susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai dalam sistem konvensional berkurangan kepada RM26.22 bilion berbanding RM30.22 bilion pagi ini manakala mudah tunai dalam dana Islam meningkat kepada RM22.45 bilion daripada RM19.28 bilion.

Terdahulu, bank pusat itu menawarkan tender repo berbalik dan tender repo berbalik Islam.

BNM turut menyemak tender Murabahah semalaman daripada RM19.6 bilion kepada RM22.5 bilion.

Pada 4.00 petang, bank pusat melaksanakan tender pasaran wang konvensional RM26.2 bilion dan tender pasaran wang Murabahah RM22.5 bilion, kedua-duanya bagi wang tiga hari.

Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.00 peratus setakat 7 Ogos, 2024 -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA