fb fb fb fb fb

Kadar antara bank jangka pendek ditutup kukuh

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 18 April- Kadar antara bank jangka pendek ditutup kukuh hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai dalam sistem konvensional turun kepada RM21.40 bilion berbanding RM23.21 bilion pada pagi ini manakala mudah tunai dalam dana Islam meningkat kepada RM16.23 bilion daripada RM14.61 bilion.

Terdahulu hari ini, bank pusat menawarkan dua tender pasaran wang konvensional dan dua tender repo berbalik.

BNM turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar untuk tempoh satu dan tiga bulan.

Pada 4 petang, bank pusat menawarkan tender pasaran wang konvensional bernilai RM21.40 bilion dan tender pasaran wang Murabahah bernilai RM16.20 bilion, kedua-duanya bagi wang sehari.

BNM menyemak semula tender semalaman Murabahah daripada RM14.6 bilion kepada RM16.2 bilion.

Setakat 17 April, Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.00 peratus. -BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI