KUALA LUMPUR, 4 Januari- Kadar antara bank jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan disokong oleh operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai dalam sistem kewangan.
Bank pusat memasuki pasaran setiap hari minggu ini dengan menawarkan tender repo berbalik, repo berbalik semalaman dan repo berbalik Islam bagi mengurangkan lebihan dana dalam sistem kewangan.
Lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional meningkat kepada RM32.60 bilion pada Jumaat daripada RM28.00 bilion pada akhir minggu sebelumnya.
Dalam sistem Islam, lebihan mudah tunai naik kepada RM27.60 bilion daripada RM22.20 bilion sebelumnya.
Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.00 peratus pada 2 Januari.- BERNAMA