KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) melancarkan inisiatif i-MULA 50 bagi meningkatkan perlindungan insurans rakyat di negara ini.
Melalui inisiatif tersebut, sebanyak 11 syarikat insurans hayat akan menyediakan pelan perlindungan mampu milik dengan subsidi RM50 untuk setiap polisi, yang diberikan secara sekali bayar.
Ketua Pegawai Eksekutif LIAM, Mark O'Dell berkata subsidi itu diberikan kepada pembeli pertama kali menggunakan peruntukan Dana Pakej Insurans Permulaan (SPIF) berjumlah RM5 juta.
"Pelan ini menyasarkan kumpulan generasi muda yang baharu membina kehidupan dan mereka yang berpendapatan rendah. Setelah menjalankan penyelidikan, pihak kami berpandangan harga yang ditawar bersesuaian untuk mereka.
"Sekiranya mencapai sasaran 100,000 orang, kami akan menambah lagi pada masa akan datang bagi memberi lebih banyak kesedaran kepada orang ramai tentang insurans," katanya.
Bercakap selepas pelancaran Dana Pakej Insurans Permulaan (SPIF), O'Dell berkata inisiatif bertujuan untuk mengukuhkan komitmen peserta industri terhadap pembangunan industri insurans hayat yang dinamik serta menyokong usaha perlindungan sosial kerajaan.
Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Gabenor Bank Negara (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
Pelindungan insurans di bawah i-MULA 50 merangkumi manfaat kematian, hilang upaya menyeluruh dan kekal, penyakit kritikal, perbelanjaan perubatan, serta pendapatan hospital.