KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Semua infrastruktur sokongan kritikal bagi projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim telah siap sepenuhnya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sebanyak 27 vendor telah beroperasi di AHTV di Tanjung Malim, selaras dengan sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Dasar Automotif Nasional (NAP 2020).
“Visi kita jelas iaitu menjadikan AHTV hab serantau untuk kenderaan canggih seperti kenderaan generasi baharu (NxGV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV). Saya sangat teruja dengan maklum balas bahawa semua infrastruktur sokongan kritikal telah siap sepenuhnya. Ini seiring dengan sasaran NIMP 2030 dan NAP 2020,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Makluman itu diterima selepas beliau mempengerusikan mesyuarat pertama Pasukan Petugas AHTV 2025.
Mesyuarat itu turut dihadiri bersama wakil kementeriannya, Kementerian Kewangan (MOF), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), MARii, PROTON dan DRB-HICOM.
Jelas Tengku Zafrul, mesyuarat berkenaan juga bagi menilai kemajuan projek AHTV yang merangkumi pembangunan infrastruktur sehingga pencapaian terbaharu.
Dalam masa sama, beliau turut berharap PROTON akan terus mengutamakan vendor tempatan sebagai rakan kongsi dalam memajukan industri automotif negara.