fb fb fb fb fb

Inflasi Malaysia meningkat 1.8 peratus pada Februari 2024

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 25 Mac- Inflasi Malaysia meningkat 1.8 peratus Februari lepas dengan mata indeks naik 132.1 berbanding 129.8 bulan sama tahun sebelumnya.

Peningkatan didorong kenaikan kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain; Rekreasi, Sukan dan Kebudayaan serta Pengangkutan.

Manakala, kumpulan utama lain merekodkan peningkatan lebih perlahan termasuk Restoran dan Perkhidmatan Penginapan, Kesihatan, Makanan dan Minuman selain Pendidikan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan 2.7 peratus bagi Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain disumbangkan subkumpulan utama Bekalan air dan pelbagai perkhidmatan berkaitan rumah kediaman.

Ini berikutan pelaksanaan pelarasan tarif air mengikut Mekanisme Penetapan Tarif bagi kategori pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuatkuasa 1 Februari lalu.

Tambahnya, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional kecuali Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Perlis dan Sarawak.

Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia lebih rendah berbanding Vietnam, Filipina, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Namun, lebih tinggi berbanding China dan Thailand.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE