KUALA LUMPUR, 11 November - Syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak serta gas (OGSE) tempatan disaran memanfaatkan sepenuhnya pelbagai inisiatif yang disediakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan berinteraksi secara aktif bersama Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC).
Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi, Datuk Badrul Hisham Mohd, berkata kerajaan telah meluluskan hampir RM50 juta di bawah RMK13 bagi melaksanakan lima inisiatif utama untuk memperkukuh pembangunan industri OGSE negara.
Menurutnya peruntukan itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap potensi sektor OGSE sebagai tonggak utama masa depan tenaga negara.
"Peruntukan ini akan menyokong lima inisiatif utama. Antaranya Geran Pembangunan OGSE, yang memperluas skim padanan RMK12 kepada RM30 juta bagi membantu syarikat berkembang dan kekal berdaya saing.
"Selain itu, Program Juara Serantau digerakkan bagi menggalakkan kerjasama dan pengembangan ke luar negara, manakala Skim Growth Beyond OGSE pula menggalakkan kepelbagaian ke sektor peralihan tenaga, ekonomi kitaran dan industri bernilai tinggi,” beliau berucap pada Forum Pelan Induk OGSE Kebangsaan 2025.
Tambah beliau, dua inisiatif utama yang turut diberi tumpuan ialah Program Kelestarian OGSE bagi memperkukuh amalan lestari dan ketahanan terhadap perubahan iklim, serta PROPEL OGSE yang memfokus kepada pembangunan bakat teknikal melalui latihan dan pensijilan khusus bersama pusat TVET.
Dalam pada itu, beliau berkata,Memorandum Persefahaman Dipertingkatkan mengenai Grid Tenaga ASEAN (APG) yang baru dimeterai, adalah bukti komitmen Malaysia memperkukuh kerjasama tenaga serantau.
Ini terutama dalam membuka peluang kepada syarikat OGSE tempatan untuk memperluas keupayaan,mempelbagaikan penawaran serta menyertai pembangunan infrastruktur tenaga di peringkat serantau.