KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi (HVGT) adalah selaras dengan pendekatan pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi tanpa membebankan rakyat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagaimanapun kerajaan akan terus mengekalkan pendekatan bersasar dalam pengenaan cukai, terutamanya melibatkan barangan bernilai tinggi.
"Apabila kita perluaskan SST, kita lihat segmen yang mampu menanggungnya. Barang-barang asas yang sering digunakan oleh rakyat kita kecualikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2025 di ibu negara hari ini.
Cukai dikenakan hanya terhadap barangan atau perkhidmatan pilihan, termasuk perkhidmatan perubatan yang disasarkan kepada pelancong luar negara serta perkhidmatan pendidikan yang melebihi ambang bayaran RM60,000 setahun.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan cukai barang bernilai tinggi (HVGT).
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim prinsip HVGT itu telah diterapkan dalam semakan semula struktur cukai jualan, dengan barang mewah dan bersifat pilihan dikenakan cukai pada kadar lima atau 10 peratus.