fb fb fb fb fb

Harga getah dijangka dalam aliran menurun minggu depan

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Harga getah Malaysia dijangka dalam aliran menurun minggu depan dalam persekitaran prospek ketidaktentuan monetari dan ekonomi semasa.

Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) Denis Low berkata pasaran getah menyaksikan dagangan yang lengang walaupun hujan berterusan yang mungkin menyebabkan kebimbangan bekalan kerana perkembangan ekonomi yang tidak begitu baik menyebabkan peniaga bersikap berhati-hati.

“Keadaan naik turun dalam pasaran minyak dan mata wang juga mungkin memberi kesan kepada harga dan permintaan,” katanya kepada Bernama.

Peniaga juga bersedia untuk menilai dengan teliti data pekerjaan Amerika Syarikat pada masa kritikal ini kerana Rizab Persekutuan (Fed) akan menimbang dasar monetarinya semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada bulan November depan.

Data terkini menunjukkan pengangguran Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada 207,000 pada 5 Oktober daripada 204,000 pada minggu sebelumnya, pasaran buruh mengalami ketidaktentuan, justeru kadar faedah dikenakan Fed dijangka kekal tinggi pada tempoh yang lama.

Dari segi asas mingguan, pasaran getah berada dalam aliran menurun dalam persekitaran kekurangan pemangkin yang menggerakkan pasaran yang positif apabila pasaran China ditutup kerana cuti selama seminggu dan data pasaran utama yang bercampur-campur.

Walaupun jualan automotif yang lebih tinggi dicatatkan di China dan AS, Laporan Statistik Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) terkini menunjukkan permintaan global merosot kepada 0.2 peratus pada bulan Ogos.

ANRPC berkata permintaan getah asli dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik dan tekanan inflasi yang berterusan.

Selain itu, pasaran minyak lemah sepanjang minggu dalam persekitaran kebimbangan permintaan.

Dari segi asas mingguan, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia SMR 20 susut 4.0 sen kepada 650.50 sen sekilogram daripada 654.50 sen sekilogram minggu lepas.

Lateks pukal menokok 11.0 sen kepada 508.5 sen sekilogram daripada 497.50 sen sekilogram sebelum ini.

Pada 5 petang semalam, harga rujukan LGM bagi getah fizikal SMR 20 berada pada 651.00 sen sekilogram, manakala lateks pukal berjumlah 509.50 sen sekilogram.- BERNAMA


(FOTO HIASAN)

Media Baharu