fb fb fb fb fb

Graduan perlu kuasai bakat digital seiring RMK13

Foto Hiasan - Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Pembangunan bakat digital dalam kalangan graduan dilihat seiring dengan tumpuan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan ekonomi digital serta penciptaan pekerjaan bernilai tinggi.

Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Malaya-Wales, Prof. Dr. Roselina Ahmad Saufi, berkata graduan perlu mengambil inisiatif mempelajari teknologi baharu, bukan sekadar membangunkan sistem atau aplikasi, tetapi menguasai penggunaan teknologi sedia ada yang relevan dengan pasaran kerja.

“Graduan kewangan misalnya perlu memahami teknologi fintech, manakala graduan pengurusan sumber manusia wajib menguasai aplikasi HR Analytics. Bagi bidang pemasaran pula, penguasaan pemasaran digital kini menjadi elemen penting dalam industri,” katanya.

Beliau menegaskan, universiti dan politeknik wajar memperkemas peranan dalam menentukan hala tuju graduan agar tenaga kerja negara benar-benar bersedia memenuhi permintaan industri.

Tambahnya, pembangunan bakat digital dalam kalangan belia akan meningkatkan kadar guna tenaga berkemahiran tinggi, seiring sasaran RMK13 untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu melalui pendigitalan, sekali gus mengukuhkan daya saing ekonomi negara.

TUN JULIA MOHD TAHIR