fb fb fb fb fb

Fokus perkukuh ekonomi domestik dalam menghadapi daya saing ekonomi global

Muhammad Azmi RTM ditemui selepas program Biz Malaysia / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 MEI — Usaha perkukuh permintaan domestik perlu diberi tumpuan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, selain mempercepat transformasi digital serta ekonomi hijau bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.

Menurut Setiausaha Pertubuhan Penganalisis Teknikal Malaysia, Muhammad Azmi Mohd Amin, tumpuan perlu terarah kepada menyokong perbelanjaan pengguna dan pelaburan swasta menerusi dasar fiskal berhemah, insentif pelaburan serta bantuan bersasar kepada golongan rentan.

“Kerajaan juga perlu mempercepatkan agenda digitalisasi terutamanya melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta menggalakkan teknologi lestari bagi membuka peluang pertumbuhan baharu dan menarik pelaburan berkualiti tinggi,” katanya kepada RTM selepas program Biz Malaysia.

Tambah beliau, usaha memperkukuh daya saing pelaburan juga harus diberi perhatian melalui penyediaan persekitaran perniagaan yang stabil, mesra pelabur, serta pengurangan birokrasi dan proses pelesenan yang lebih mudah.

“Pelaburan dalam pendidikan, latihan semula, dan kemahiran digital amat penting untuk mempersiapkan tenaga kerja negara menghadapi perubahan struktur ekonomi, seperti sistem insurans pekerjaan yang membantu individu terkesan akibat cabaran ekonomi.

Pada masa sama  beliau menekankan keperluan untuk mempelbagaikan pasaran eksport agar tidak terlalu bergantung kepada pasaran tertentu.

“Langkah meneroka pasaran baharu menerusi kerjasama serantau dan perjanjian perdagangan bebas mampu mengukuhkan daya tahan ekonomi negara dalam jangka panjang,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, Azmi berkata ia adalah peluang strategik untuk memacu agenda ekonomi serantau.

“Malaysia boleh mengetengahkan agenda kerjasama rantaian bekalan, pelaburan hijau dan digitalisasi bagi memastikan pertumbuhan ASEAN yang mampan dan menyeluruh,” ujarnya.

Selain itu katanya, Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam memperkukuh perdagangan intra-ASEAN dengan mempromosi pemudahcaraan dagangan, pengiktirafan bersama sijil halal serta akses pasaran.

“Negara-negara anggota ASEAN saling melengkapi dan ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada kuasa luar,” tambahnya.

Beliau turut menyarankan agar Malaysia memimpin usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi ke rantau ini melalui penyelarasan dasar dan jaminan kestabilan serantau.

“Malaysia boleh bertindak sebagai pemudah cara, penyatu suara dan pemacu kepada agenda ekonomi ASEAN yang lebih bersepadu dan berdaya tahan,” katanya. #

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN