KUALA LUMPUR, 2 Disember - FELCRA Berhad (FELCRA) mencatat kejayaan baharu apabila menerima dividen sebanyak RM28.1 juta daripada 13 anak syarikat dan syarikat bersekutu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasil strategi pengurusan berkesan di semua peringkat, pencapaian ini membuktikan prestasi kewangan semakin kukuh, sekali gus memantapkan kedudukan FELCRA dalam agenda pembangunan luar bandar.
Kejayaan ini turut mencerminkan komitmen FELCRA dalam memastikan pertumbuhan ekonomi peserta terus diperkasa dan nilai mampan diwujudkan kepada pemegang taruh melalui inisiatif korporat yang lebih strategik serta berdaya saing.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyuarakan keyakinan terhadap Kumpulan FELCRA Berhad, khususnya anak-anak syarikatnya agar terus membina kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
"Bagi memastikan kesinambungan kejayaan masa hadapan, FELCRA diminta mengemukakan Pelan Strategik Perniagaan 2026–2036 pada suku pertama 2026 bagi mengukuhkan daya saing jangka panjang," katanya dalam kenyataan media.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas Majlis Penyampaian Dividen Subsidiari dan Syarikat Bersekutu FELCRA Bhd.
Pada majlis itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menyaksikan penyerahan replika cek keuntungan daripada Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Idris Lasim kepada Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob sebagai simbolik kejayaan kumpulan.
Turut disampaikan ialah replika cek daripada 13 anak syarikat dan syarikat bersekutu FELCRA yang menandakan sumbangan signifikan entiti terbabit terhadap kekuatan kewangan keseluruhan FELCRA Berhad.
"Dengan semangat kerja berpasukan kukuh serta hala tuju strategik jelas, FELCRA diyakini terus menjadi institusi kebanggaan masyarakat desa dan pemacu kemakmuran korporat yang berimpak tinggi," katanya.