KUALA LUMPUR, 12 September - Rakuten Trade Sdn Bhd menaikkan sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada 1,650 mata bagi penghujung 2025, berbanding unjuran terdahulu 1,630 mata.
Ketua Penyelidikannya, Kenny Yee berkata, semakan unjuran itu didorong oleh kemungkinan kemasukan semula dana asing ke rantau ini, disokong penilaian pasaran yang lebih menarik serta asas ekonomi yang stabil.
Beliau menjelaskan, jangkaan kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) turut mendorong pengurus dana global meninjau pasaran dengan mata wang lebih stabil, menjadikan Asia sebagai destinasi pilihan.
“Tidak mengejutkan jika Asia menjadi tumpuan pelabur kerana mereka mahu mengurangkan kerugian mata wang selain mengambil peluang daripada pasaran yang lebih kukuh,” katanya pada sidang media maya Prospek Pasaran Suku Keempat 2025, hari ini.
Buat masa ini, pelabur masih memberi tumpuan kepada pasaran Hong Kong dan China, namun aliran masuk dana asing ke rantau ini dijangka lebih agresif apabila penilaian di kedua-dua pasaran tersebut semakin berkurangan.
Mengulas ketegangan politik di Indonesia, Thailand dan Filipina, beliau berkata keadaan itu memberi kelebihan kepada pasaran ekuiti lain di rantau ini, termasuk Malaysia.
Menurutnya, pelabur lazimnya lebih berhati-hati untuk memasuki pasaran yang berdepan ketidakstabilan politik, justeru mereka akan beralih kepada pasaran lain di Asia Tenggara yang lebih stabil.
Mengenai ringgit, Kenny menjelaskan mata wang tempatan itu berpotensi mengukuh antara 4.00 hingga 4.15 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini. Pengukuhan tersebut didorong kelemahan ekonomi AS yang dijangka menyumbang kepada penurunan kadar faedah seterusnya.