fb fb fb fb fb

Ekonomi rantau kekal kukuh meski berdepan tekanan global - AMRO

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Malaysia kekal stabil dengan pertumbuhan ekonomi yang baik dan inflasi rendah.

Negara disaran memanfaatkan ASEAN sebagai platform serantau serta memperdalam integrasi dengan Jepun, Korea dan China, yang merupakan peneraju teknologi.

Ketua Ahli Ekonomi AMRO, Dr. Dong He, menekankan bahawa cabaran utama kini adalah bagaimana Malaysia dapat menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau untuk mengukuhkan kapasiti pengeluaran sedia ada dan meningkatkan daya tahan ekonomi.

“Ini akan meletakkan ekonomi Malaysia pada asas yang lebih kukuh dan menjadikannya lebih berdaya tahan,” kata Dr. Dong He semasa sidang media pelancaran ASEAN+3 Financial Stability Report (AFSR) 2025 secara maya.

Menurut laporan AMRO, pertumbuhan rantau ASEAN+3 telah disemak semula kepada 4.1 peratus pada 2025 dan 3.8 peratus pada 2026, disokong oleh eksport kukuh dan permintaan domestik tinggi.

Walaupun perdagangan intra-rantau dan permintaan dalaman menjadi pemacu utama pertumbuhan, rantau ini masih terdedah kepada kejutan global, termasuk tekanan inflasi di Amerika Syarikat (AS), ketidaktentuan dasar perdagangan, dan ketidakstabilan nilai dolar AS.

Sektor eksport, khususnya firma kecil yang bergantung kepada permintaan AS, menghadapi tekanan margin keuntungan. Namun, asas ekonomi yang kukuh, sistem perbankan stabil, rizab asing mencukupi dan dasar monetari yang menyokong pertumbuhan menjadi penampan penting bagi rantau ini.

Selain itu, digitalisasi sektor kewangan menawarkan peluang untuk meningkatkan penyertaan kewangan dan kecekapan, tetapi turut menimbulkan cabaran baharu terhadap kestabilan ekonomi.

AMRO menegaskan bahawa tindakan dasar yang diselaraskan, ketelusan tinggi, dan pendalaman pasaran domestik akan menjadi kunci mengukuhkan daya tahan rantau menghadapi ketidaktentuan global.

Dalam pada itu, Ketua Kumpulan Pemantauan Kewangan AMRO Runchana Pongsaparn, menekankan keperluan dasar pelbagai pendekatan bagi mengimbangi inovasi dan pengurusan risiko, bergantung kepada kematangan pasaran masing-masing.

Menerusi tindakan dasar yang diselaraskan, ketelusan dan pendalaman pasaran domestik, AMRO yakin rantau ini dapat meningkatkan daya tahan dan memanfaatkan peluang pertumbuhan global.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE