fb fb fb fb fb

Defisit fiskal 3.8 peratus mampu dicapai hasil pelaksanaan BUDI95 - Penganalisis

Pelaksanaan sepenuhnya inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) membuktikan komitmen kerajaan terhadap usaha pembaharuan fiskal berterusan melalui langkah penyasaran subsidi/Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 30 September – Pelaksanaan sepenuhnya inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) membuktikan komitmen kerajaan terhadap usaha pembaharuan fiskal berterusan melalui langkah penyasaran subsidi.

Setiausaha Pertubuhan Penganalisis Teknikal Malaysia, Muhammad Azmi Mohd Amin berkata dengan pengurusan fiskal yang lebih berhemah, kerajaan berupaya mencapai sasaran defisit fiskal pada kadar 3.8 peratus tahun ini.

Menurutnya, apabila perbelanjaan subsidi berada dalam kawalan, kerajaan mempunyai ruang untuk mengurangkan jurang di antara hasil dan perbelanjaan negara.

Justeru, sasaran untuk mengecilkan defisit fiskal secara berperingkat dilihat lebih realistik.

3009 BZ FUP BUDI95 REFORMASI 2Setiausaha Pertubuhan Penganalisis Teknikal Malaysia, Muhammad Azmi Mohd Amin

“Pengurusan hutang negara juga akan lebih mampan dan apabila defisit mengecil, kerajaan tidak perlu mendapatkan pinjaman baharu bagi menampung perbelanjaan negara.

“Langkah ini membantu menstabilkan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur, pasaran kewangan serta agensi penarafan kredit antarabangsa,” katanya ketika ditemu bual selepas program Biz Malaysia.

Tambah beliau, paras inflasi dijangka tidak meningkat secara ketara memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) terus memantau rapat perkembangan semasa serta memastikan kesan inflasi keseluruhan kekal dalam julat terkawal.

Dari sudut kelestarian ekonomi, rasionalisasi subsidi menerusi BUDI95 juga dijangka menggalakkan penggunaan tenaga lebih cekap selain menyokong agenda peralihan tenaga hijau negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN