KUALA LUMPUR, 2 JUN - Malaysia telah mencatat kemajuan memberangsangkan dalam disiplin fiskalnya, namun ketidaktentuan global menuntut pendekatan yang lebih berhemat, menurut Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO).
Penganalisis ekonomi AMRO, Dek Joe Sum berkata, Malaysia berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada paras tertinggi semasa pandemik iaitu 6.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021 kepada 4.1 peratus pada 2024.
Namun, beliau memberi amaran bahawa ketidaktentuan luaran seperti ketegangan perdagangan antara kuasa besar global terus menjadi cabaran utama.
"Bagaimanapun cadangan pelaksanaan tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat menuntut keperluan terhadap dasar fiskal yang bukan sahaja berdisiplin, malah tangkas dan responsif.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia perlu memperkukuh daya tahan fiskal agar negara dapat memberi tindak balas pantas terhadap kejutan luaran dan pada masa yang sama memastikan kelangsungan ekonomi domestik.
''Dalam persekitaran luaran yang tidak menentu, adalah penting untuk membina semula penampan fiskal dan memastikan sumber fiskal dapat digerakkan dengan lancar untuk menyokong sektor yang mudah terjejas dan mengekalkan permintaan domestik,'' katanya dalam ulasan Strategi Fiskal Malaysia Dalam Ketidaktentuan Global.
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan jangka panjang yang menyeluruh dalam pembaharuan fiskal negara.
''Melangkah ke hadapan, Malaysia memerlukan fleksibiliti fiskal yang berterusan, di samping meneruskan rasionalisasi subsidi, mengukuhkan tadbir urus institusi dan meluaskan asas hasil bagi menjamin kemampanan fiskal jangka panjang,'' tambahnya.
Sebagai persediaan menangani sebarang kemungkinan impak tarif, Kerajaan boleh melaksanakan beberapa langkah bersasar dengan segera, seperti inisiatif meningkatkan jaminan kerajaan kepada pengeksport PKS yang merupakan satu langkah positif.
''Perbelanjaan fiskal juga wajar dipercepatkan bagi mengekalkan permintaan domestik dengan menyalurkan sumber kepada pelaburan awam dan bantuan kepada isi rumah.
Tambahnya, kerajaan juga boleh mempertimbangkan pelepasan cukai sementara dan bersasar, penangguhan bayaran tertentu, serta penyediaan geran industri bagi sektor yang terjejas.
Tambahannya lagi, Sistem Insurans Pekerjaan perlu terus diperkukuh sebagai sebahagian daripada strategi mengekalkan kestabilan pasaran buruh.
''Pelepasan cukai sementara dan bersasar, penangguhan bayaran dan penyediaan geran industri juga boleh dipertimbangkan, di samping itu, mengukuhkan Sistem Insurans Pekerjaan bagi mengekalkan kestabilan pasaran buruh,'' jelas beliau.