fb fb fb fb fb

CMPA perlu jadi ‘living laboratory’ pacu inovasi pelabuhan pintar

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Tahunan CMPA ke-6

SEPANG, 10 November – Perikatan Pelabuhan China–Malaysia (CMPA) perlu terus berkembang sebagai platform inovasi dinamik yang berperanan sebagai “living laboratory” dalam memacu kemajuan teknologi pelabuhan pintar, automasi dan tenaga hijau.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kerjasama lebih erat antara pelabuhan ahli dari kedua-dua negara akan mempercepatkan proses pendigitalan, meningkatkan kecekapan operasi dan menyokong peralihan ke arah ekosistem maritim rendah karbon serta mampan.

Jelas beliau, langkah itu sejajar dengan komitmen Malaysia memperkukuh daya saing pelabuhan serantau melalui penggunaan teknologi baharu dan amalan lestari, seiring pelaksanaan Dasar Pengangkutan Negara 2019–2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Sejak 2015, CMPA telah berkembang menjadi rangkaian dinamik merangkumi 24 pelabuhan ahli – sembilan dari Malaysia dan lima belas dari China.

Sepanjang sedekad lalu, ia menjadi platform penting bagi dialog, jaringan perniagaan dan kerjasama teknikal yang membolehkan pelabuhan kita saling belajar dan memperkukuh keterhubungan maritim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan CMPA ke-6 di sini, hari ini.

Datuk Hasbi menjelaskan, Malaysia kini giat memperkukuh kedudukan sebagai hab logistik serantau, termasuk melalui pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal meningkatkan keterhubungan antara Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan menjelang 2026.

“Perkembangan ini melengkapi matlamat Malaysia mewujudkan sistem logistik yang lebih cekap, bersepadu dan berdaya tahan, sekali gus menyokong pertumbuhan perdagangan serantau bawah kerangka kerjasama ASEAN–China,” ujarnya.

Tambah beliau, pengukuhan CMPA bukan sahaja mempererat hubungan ekonomi Malaysia–China yang telah terjalin lebih lima dekad, tetapi juga menjadi pemangkin kepada pembangunan maritim serantau yang lebih hijau, digital dan berdaya saing.

Dalam pada itu, Forum Transformasi Digital Pelabuhan dan Forum Kerjasama Industri Kapal Persiaran China–Malaysia turut diadakan bersempena mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat tahunan kali ini diadakan seiring Pameran Pengangkutan Asia (TXA) 2025, yang berlangsung mulai 11 November di sebuah hotel di Sepang.

TXA 2025 berperanan sebagai platform serantau utama yang mempamerkan inovasi dalam sektor maritim, penerbangan dan pengangkutan darat, dengan penekanan khas kepada logistik hijau, mobiliti digital dan infrastruktur masa depan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN