fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 3 November- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih tinggi seiring dengan saham serantau memandangkan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang dihentikan seketika telah meningkatkan sentimen global.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.63 peratus atau 9.14 mata kepada 1,448.91 daripada 1,439.77 sewaktu ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 7.86 mata kepada 1,447.63 dan bergerak antara 1,444.79 dan 1,449.58 sepanjang sesi.

Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 492 kepada 301 manakala 397 kaunter tidak berubah, 1,161 tidak diniagakan dan 22 lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 1.94 bilion unit bernilai RM1.01 bilion.

Rizab Persekutuan (Fed) AS mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada Rabu.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata berikutan himpunan pendapatan korporat lebih baik di AS yang didahului oleh Apple Inc, pihaknya menjangkakan sektor teknologi akan menerima rangsangan daripada aktiviti dagangan hari ini.

Firme pembrokeran itu juga positif dengan sektor utiliti dari segi belian susulan berikutan urus niaga antara YTL Power International (YTLP) dan Ranhill Utilities baru-baru ini.

YTLP dilaporkan telah membeli 18.87 kepentingan dalam Ranhill Utilities, sekali gus muncul sebagai pemegang saham terbesar dalam Ranhill Utilities.

Kenaikan harga minyak iaitu minyak mentah Brent yang menokok 0.2 peratus kepada US$87.02 setong setakat ini mungkin menawarkan peluang perdagangan kepada sektor minyak dan gas, katanya.

Saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia seperti Sime Darby meraih 12 sen kepada RM4.43, manakala Maybank dan Axiata masing-masing menokok tiga sen kepada RM9.05 dan RM2.32.

CelcomDigi pula menambah dua sen kepada RM4.27, MISC menokok sembilan sen kepada RM7.30 dan Tenaga meraih tujuh sen kepada RM9.97.

Bagi saham aktif, Econpile tidak berubah pada 29.5 sen, Cypark menokok tiga sen kepada RM1.01, Reneuco naik satu sen kepada 20 sen dan Meta Bright Group meningkat setengah sen kepada 24 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 59.01 mata kepada 10,691.06, Indeks FBMT 100 menokok 58.25 mata kepada 10,363.35 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 69.56 mata kepada 10,894.30.

Indeks FBM 70 meraih 48.39 mata kepada 14,101.45 dan Indeks FBM ACE meningkat 23.26 mata kepada 5,047.24.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.44 mata kepada 171.09 manakala Indeks Perladangan menokok 63.37 mata kepada 6,971.27 dan Indeks Tenaga naik 3.07 mata kepada 873.88.

Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 59.07 mata kepada 16,294.58.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE