fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia susut pada tengah hari seiring prestasi pasaran serantau

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 14 Februari- Bursa Malaysia susut pada akhir sesi dagangan pagi Rabu, seiring prestasi pasaran serantau yang suram diasak kemerosotan semalaman Wall Street selepas pengumuman data inflasi yang lebih buruk berbanding jangkaan dan menjejaskan harapan pengurangan kadar faedah pada Mei depan.

Pada 12.30 tengah hari ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.89 mata kepada 1,525.48 daripada 1,531.37 yang dicatatkan pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu yang dibuka susut 3.58 mata kepada 1,527.79 pada pagi ini, bergerak dalam jajaran 1,521.79 hingga 1,530.95 sepanjang sesi dagangan pagi.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 474 berbanding 266 manakala 377 kaunter lain tidak berubah; 1,183 tidak diniagakan dan 10 lain digantung dagangannya.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd berkata indeks petunjuk utama tempatan itu melonjak 19.09 mata untuk ditutup pada paras 1531.37 semalam ketika sentimen pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 634 berbanding 297.

“Pada masa ini, FBM KLCI dijangka bergerak ke arah paras rintangan segera pada 1,551 dalam masa terdekat sekiranya terdapat pemangkin untuk membolehkannya melepasi paras 1,515,” katanya.

Setakat tengah hari ini, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun tiga sen kepada RM9.41; Public Bank rugi dua sen kepada RM4.38; TNB susut lapan sen kepada RM11.0; Petronas Chemicals sebaliknya kekal pada RM6.77 manakala CIMB meraih satu sen kepada RM6.35.

Bagi saham aktif, YTL Power turun enam sen kepada RM3.92; Ekovest rugi setengah sen kepada 54 sen; Dagang Nexchange menokok 1.5 sen kepada 35 sen manakala YNH Property susut 1.5 sen kepada 66 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas berkurangan 33.16 mata kepada 11,340.85; Indeks FBMT 100 turun 32.71 mata kepada 10,997.08; Indeks FBM 70 menguncup 5.63 mata kepada 15,328.68; Indeks FBM Emas Syariah susut 43.87 mata kepada 11,368.77 manakala Indeks FBM ACE kehilangan 25.43 mata kepada 4,808.09.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Hartanah turun 2.25 mata kepada 925.31; Indeks Perladangan susut 56.27 mata kepada 7,220.36 dan Indeks Tenaga merosot 2.44 mata kepada 888.96.

Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 18.10 mata kepada 17,130.15 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kehilangan 0.62 mata kepada 174.14.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN