fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

BURSA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 10 Jun- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini dengan rendah berikutan kebimbangan yang kembali meningkat terhadap prospek kadar faedah Amerika Syarikat (AS) menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan AS minggu ini.

Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 2.72 mata kepada 1,615.14 daripada 1,617.86 semasa ditutup pada Jumaat.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 1.38 mata lebih tinggi kepada 1,619.24 dan kemudiannya bergerak antara 1,614.25 dan 1,619.24 sepanjang sesi dagangan itu.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 542 berbanding 487, dengan 441 kaunter tidak berubah, 928 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 3.52 bilion unit bernilai RM1.68 bilion.

Pada Jumaat lepas, data penyata gaji bukan ladang (NFP) AS menyatakan sebanyak 272,000 pekerjaan baharu diwujudkan pada Mei, melepasi unjuran konsensus 182,000 manakala pertumbuhan gaji tahunan kembali meningkat, menimbulkan keraguan mengenai kemungkinan pengurangan kadar faedah minggu ini.

Segala perhatian terarah kepada angka inflasi AS bagi Mei, yang akan dikeluarkan pada hari yang sama berakhirnya mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 12 Jun.

Di dalam negara, kaunter wajaran tinggi Press Metal mendahului saham yang merosot selepas susut 12 sen kepada RM5.77, manakala YTL dan Maxis masing-masing berkurangan dua sen kepada RM3.63 dan RM3.64, YTL Power susut lima sen kepada RM5.01 dan Petronas Dagangan rendah 38 sen kepada RM18.20.

Bagi saham aktif, Hubline dan YNH Property masing-masing menokok tiga sen kepada 7.0 sen dan 67 sen, Talam dan Industronics tidak berubah masing-masing pada 1.5 sen dan 4.5 sen manakala JAKS Resources meningkat 1.5 sen kepada 17 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 7.99 mata kepada 12,348.87, Indeks FBMT 100 susut 13.62 mata kepada 11,926.84, dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 0.73 mata kepada 12,652.80.

Indeks FBM 70 naik 5.92 mata kepada 17,800.80 dan Indeks FBM ACE meningkat 67.02 mata kepada 5,644.34.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 7.02 mata kepada 17,635.24, Indeks Perladangan rendah 22.40 mata kepada 7,122.93 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.03 mata kepada 197.62 manakala Indeks Tenaga meraih 7.27 mata kepada 976.50. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA