KUALA LUMPUR, 9 Mei- Bursa Malaysia meningkat semula daripada penurunan semalam untuk dibuka tinggi, didorong oleh minat belian baharu dalam saham wajaran tinggi terpilih yang sejajar dengan momentum positif di pasaran serantau, kata penganalisis.
Pada pukul 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.93 mata kepada 1,546.67 daripada 1,542.74 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 2.25 mata kepada 1,544.99.
Jumlah dagangan sebanyak 156.16 juta saham bernilai RM77.70 juta.
Suasana pasaran positif, dengan 202 kaunter untung mengatasi 133 kaunter rugi, 251 kaunter tidak berubah, 1,781 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, berdasarkan prestasi positif di Amerika Syarikat (AS), bursa tempatan dijangka meningkat semula berikutan indeks Kewangan Bursa meningkat 8.0 peratus sejak paras terendah pada 9 April, disokong oleh penurunan 100 mata asas dalam Keperluan Rizab Berkanun, yang menyuntik kira-kira RM19 bilion dalam bentuk mudah tunai dalam sistem perbankan.
“Peniaga dijangka mencari peluang dagangan dalam saham perbankan yang belum mencatatkan kenaikan seperti Alliance dan AmBank.
“Sementara itu, kami mendapati kecerdasan buatan (AI) kembali mendapat momentum berikutan potensi semakan semula terhadap akta sekatan cip oleh pentadbiran (Presiden AS sebelum ini) Biden.
“Ini boleh menjana minat dagangan dalam sektor pembinaan, utiliti dan teknologi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 4.0 sen kepada RM9.92, Public Bank dan CIMB, masing-masing meningkat 1.0 sen kepada RM4.46 dan RM6.88. Bagaimanapun, Tenaga Nasional merosot 2.0 sen kepada RM14.28 dan IHH Healthcare berkurangan 3.0 sen kepada RM6.98.
Dalam dagangan aktif, Sapura Energy dan Magma, masing-masing mendatar pada 4.5 sen dan 35.5 sen manakala Lotte Chemical menambah 7.0 sen kepada 61.5 sen dan SFP Tech naik setengah sen kepada 22 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 28.47 mata kepada 11,520.28, Indeks FBMT 100 meningkat 28.95 mata kepada 11,285.98 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 23.37 mata kepada 11,456.70.
Indeks FBM 70 naik 43.04 mata kepada 16,309.07, bagaimanapun Indeks FBM ACE merosot 14 mata kepada 4,646.86.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 47.67 mata kepada 18,102.56, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.67 mata kepada 153.68, Indeks Tenaga menambah 2.51 mata kepada 688.95 dan Indeks Perladangan menokok 12.89 mata kepada 7,213.92.- BERNAMA