fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari

BURSA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 10 Julai- Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari ini disokong oleh kenaikan dalam perkhidmatan kewangan dan kaunter produk dan perkhidmatan pengguna.

Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.63 mata kepada 1,617.05 daripada 1,614.42 pada Selasa.

Indeks utama dibuka rendah 0.71 mata kepada 1,613.71 dan bergerak antara 1,613.65 dan 1,619.35 pada sesi dagangan pagi.

Bagaimanapun, dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 568 berbanding 382 manakala 498 kaunter tidak berubah, 972 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.63 bilion unit bernilai RM1.59 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks itu dijangka berlegar dalam julat 1,610-1,620 hari ini.

"Suasana pasaran kekal berhati-hati memandangkan volum pasaran telah menyusut di bawah lima bilion saham," katanya kepada Bernama.

Indeks serantau utama kebanyakannya bergerak dalam aliran lebih rendah dengan Nikkei 225 Jepun susut 0.02 peratus kepada 41,572.77, Kospi Korea Selatan susut 0.05 peratus kepada 2,886.02 dan Indeks Komposit SSE Shanghai merosot 0.33 peratus kepada 2,949.66.

Sementara itu, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.62 peratus kepada 3,447.36 dan Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.27 peratus kepada 17,570.70.

Di pasaran tempatan, dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot empat sen kepada RM10.02, Tenaga Nasional turun dua sen kepada RM14.40 dan IHH Healthcare jatuh satu sen kepada RM6.29, Public Bank menokok satu sen kepada RM4.12 dan CIMB melonjak sembilan sen kepada RM7.06.

Bagi kalangan saham aktif, Dataprep naik 2.5 sen kepada 23.5 sen, Bintai Kinden menambah satu sen kepada 11 sen dan Cabnet meningkat 11 sen kepada 70 sen bagaimanapun Hubline turun 0.5 sen kepada 7.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 23.16 mata kepada 12,496.04, Indeks FBMT 100 meningkat 28.93 mata kepada 12,074.86, Indeks FBM Emas Shariah menokok 21.64 mata kepada 12,849.77, Indeks FBM 70 menambah 78.33 mata kepada 18,542.43 manakala Indeks FBM ACE turun 21.54 mata kepada 5,928.72.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 18.42 mata kepada 17,728.19, Indeks Perladangan menambah 31.73 mata kepada 6,963.85, Indeks Tenaga merosot 0.16 mata kepada 984.41 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.05 mata kepada 200.4. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA