fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia ditutup kukuh, didorong belian semasa harga murah

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 2 Mei - Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Khamis, didorong aktiviti pembelian semasa harga murah yang muncul susulan pengambilan untung pada Selasa.

Penganalisis berkata bursa tempatan menongkah aliran serantau yang kebanyakannya mencatatkan prestasi rendah apabila pelabur masih meneliti keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada Rabu yang memutuskan kadar faedah utama dikekalkan tidak berubah.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.33 mata atau 0.28 peratus kepada 1,580.30 daripada 1,575.97 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras dibuka satu mata lebih rendah kepada 1,574.97 dan bergerak di antara 1,574.27 dengan 1,582.68 sepanjang dagangan hari ini.

Walau bagaimanapun, bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 620 berbanding 530, manakala 464 kaunter tidak berubah, 676 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 3.81 bilion unit bernilai RM3.06 bilion daripada 4.18 bilion unit bernilai RM3.75 bilion pada Selasa.

Peniaga berkata Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini sebelum mengalami pergerakan bercampur-campur pada pertengahan pagi apabila indeks barometer bergerak ke wilayah positif dan seterusnya ditutup tinggi, disokong oleh belian dalam saham wajaran tinggi terpilih.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama bergerak dalam aliran lebih rendah berikutan petunjuk bercampur-campur dari Wall Street dalam tempoh semalaman.

Beliau berkata namun begitu, bursa Hong Kong mencatatkan kenaikan kukuh apabila pelabur menyambut baik pemansuhan sekatan tambahan ke atas pasaran hartanah.

Pada masa sama, pembuat kenderaan elektrik China meningkat ketara selepas mencatatkan angka penghantaran yang kukuh untuk April, dengan Nio Inc mendahului peningkatan itu dengan penghantaran naik lebih sekali ganda daripada tahun lepas, katanya.

“Di peringkat domestik, pandangan kami terhadap pasaran ekuiti tempatan kekal optimis, disokong oleh penilaian yang menarik dan aliran masuk asing yang stabil.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras bergerak dalam julat 1,580 hingga 1,590 menjelang hujung minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Pasaran ditutup pada Rabu susulan cuti umum Hari Pekerja.

Di peringkat rantau, Nikkei 225 Jepun susut 0.10 peratus kepada 38,236.07; Kospi Korea Selatan turun 0.31 peratus kepada 2,683.65 dan Indeks SSE Composite China kurang 0.26 peratus kepada 3,104.82.

Indeks Hang Seng Hong Kong melonjak 2.50 peratus kepada 18,207.13 dan Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.07 peratus kepada 3,294.87.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Maybank menambah lima sen kepada RM9.78; CIMB naik tiga sen kepada RM6.64 dan Tenaga Nasional menokok enam sen kepada RM12.02.

Public Bank susut dua sen kepada RM4.10 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.33.

Bagi saham aktif, MyEG turun tiga sen kepada 90.5 sen; waran Iconic Worldwide kurang setengah sen kepada empat sen; Top Glove dan Velesto masing-masing susut satu sen kepada 87 sen dan 26 sen manakala Binapuri kekal pada 7.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 23.83 mata kepada 11,896.09; Indeks FBMT 100 meningkat 22.10 mata kepada 11,524.83; Indeks FBM Emas Syariah menambah 27.65 mata kepada 12,113.59 dan Indeks FBM ACE naik 30.98 mata kepada 5,107.68.

Indeks FBM 70 susut 7.06 mata kepada 16,614.19.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 29.11 mata kepada 17,243.26; Indeks Perladangan naik 18.43 mata kepada 7,455.19 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.89 mata kepada 190.03 serta Indeks Tenaga turun 11.72 mata kepada 963.94.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 2.14 bilion unit bernilai RM2.70 bilion daripada 2.82 bilion unit bernilai RM3.41 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 1.19 bilion unit bernilai RM157.99 juta daripada 865.71 juta unit bernilai RM125.79 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 478.56 juta saham bernilai RM196.65 juta daripada 500.90 juta saham bernilai RM207.06 juta pada Selasa.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 433.19 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (385.15 juta), pembinaan (176.61 juta), teknologi (300.75 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (106.14 juta), hartanah (235.76 juta), perladangan (53.11 juta), REIT (18.41 juta), dana tertutup (38,000), tenaga (149.53 juta), penjagaan kesihatan (117.42 juta), telekomunikasi dan media (50.14 juta), pengangkutan dan logistik (33.91 juta), utiliti (73.75 juta) serta amanah perniagaan (2.97 juta). - BERNAMA

TETITIA YUSOFF