KUALA LUMPUR, 7 November - Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini hampir tidak berubah tetapi berjaya mengatasi kebanyakan pasaran serantau yang mengalami penurunan seiring dengan penjualan saham teknologi di Wall Street.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.19 mata atau 0.01 peratus kepada 1,619.13 daripada 1,618.94 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.31 mata lebih rendah pada 1,617.63 dan berlegar-legar dalam jajaran kecil antara 1,616.50 dan 1,621.19 sepanjang sesi dagangan.
Bagaimanapun, sentimen pasaran keseluruhan menunjukkan prestasi negatif dengan 639 kaunter rugi mengatasi 402 kaunter untung manakala 618 kaunter tidak berubah, 1,002 tidak diniagakan dan 11 kaunter lagi digantung.
Jumlah dagangan turun kepada 3.53 bilion unit bernilai RM2.35 bilion daripada 3.96 bilion unit bernilai RM2.52 bilion pada Khamis.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan serta Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pendedahan yang relatif rendah terhadap kaunter teknologi di Malaysia membantu meredakan penurunan FBM KLCI daripada kelemahan pasaran serantau yang menyeluruh.
Beliau berkata kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menerajui kenaikan disokong oleh keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman pada 2.75 peratus dengan kaunter perbankan juga terus menunjukkan aliran kenaikan yang stabil sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap keadaan monetari domestik yang kukuh.
"Walaupun ketidaktentuan pasaran global secara amnya meningkat, ketidaktentuan FBM KLCI kekal terkawal. Ketidaktentuan dijangka masih tinggi menjelang laporan pekerjaan Amerika Syarikat (AS) susulan para peniaga kekal berhati-hati selepas penjualan saham teknologi dan aset berisiko pada Khamis," katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek juga berkata sentimen pasaran kekal defensif berikutan laporan pekerjaan AS yang lebih kukuh daripada jangkaan, mampu meredakan harapan penurunan kadar faedah selain meningkatkan ketidaktentuan manakala bacaan yang lebih lemah mungkin memberi kelegaan kepada pasaran ekuiti dan bon.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM9.91 manakala Public Bank naik satu sen kepada RM4.27, CIMB Group menambah tiga sen kepada RM7.53, Tenaga Nasional berkembang dua sen kepada RM13.22 dan IHH Healthcare meningkat enam sen kepada RM8.28.
Dalam kalangan saham paling aktif, MMAG merosot satu sen kepada 8.5 sen, Pharmaniaga melonjak tiga sen kepada 26.5 sen, Perak Transit menokok 2.5 sen kepada 29 sen manakala Pertama Digital merosot enam sen kepada lima sen dan NexG Bina menyusut setengah sen kepada 3.5 sen.
Dalam kalangan saham paling untung, Kuala Lumpur Kepong menambah 30 sen kepada RM21.08, Dutch Lady Milk memperoleh 18 sen kepada RM26.96, FCW Holdings naik 15 sen kepada RM1.90 dan Westports serta QL Resources masing-masing meningkat 11 sen kepada RM5.42 dan RM4.23.
Dalam kalangan saham paling rugi, Nestle kehilangan 40 sen kepada RM112.40, MISC turun 14 sen kepada RM7.65 dan Time Dotcom susut 13 sen kepada RM4.87.
Kerjaya Prospek dan Ajinomoto masing-masing berkurang 12 sen kepada RM2.58 dan RM13.60.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 merosot 1.72 mata kepada 11,793.48 manakala Indeks FBM Emas mengecil 3.82 mata kepada 12,034.07.
Indeks FBM Emas Shariah turun 8.87 mata kepada 12,048.33, Indeks FBM ACE susut 32.72 mata kepada 5,050.73 dan Indeks FBM Mid 70 hilang 15.90 mata kepada 16,926.84.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 45.55 mata kepada 8,103.08 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurang 0.63 mata kepada 18,337.24, Indeks Tenaga merosot 1.40 mata kepada 766.46 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 0.56 mata kepada 168.40.
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.51 bilion unit bernilai RM1.93 bilion daripada 1.52 bilion unit bernilai RM2.05 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran menurun kepada 1.49 bilion unit bernilai RM283.58 juta daripada 1.99 bilion unit bernilai RM341.15 juta sebelumnya.
Bagaimanapun, jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 527.09 juta unit bernilai RM135.70 juta daripada 445.35 juta unit bernilai RM129.49 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 412.83 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (160.97 juta), pembinaan (124.44 juta), teknologi (182.71 juta), perkhidmatan kewangan (52.25 juta), hartanah (176.62 juta), perladangan (35.40 juta), dana pelaburan hartanah (22.08 juta), dana tertutup (29,400), tenaga (97.24 juta), penjagaan kesihatan (153.46 juta), telekomunikasi dan media (28.80 juta), pengangkutan dan logistik (34.30 juta), utiliti (27.42 juta) serta amanah perniagaan (9,000).- BERNAMA