KUALA LUMPUR, 23 April- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu, menjejaki kenaikan di Wall Street dalam tempoh semalaman ketika ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China diharap semakin reda.
Pada pukul 9.19 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 12.09 mata kepada 1,498.34 daripada 1,486.25 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 11.11 mata lebih tinggi kepada 1,497.36.
Lingkungan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 363 berbanding 106 manakala 226 kaunter tidak berubah, 1,709 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 311.53 juta saham bernilai RM170.09 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata sentimen optimis itu susulan kenyataan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, yang menyatakan situasi perdagangan semasa adalah tidak mampan dan pengurangan dijangka berlaku.
“Sementara itu, Presiden AS Donald Trump mengulangi beliau tidak berniat untuk menyingkirkan Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell, apabila hasil berjangka 10 tahun AS sedikit turun kepada 4.401 peratus,” katanya kepada Bernama.
Thong yakin FBM KLCI mungkin menerima sokongan belian hari ini, dipacu oleh lonjakan semula yang ketara di Wall Street.
“Kami menjangkakan indeks ini berlegar antara paras 1,490 hingga 1,500 hari ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata pihaknya menjangkakan FBM KLCI diniagakan lebih tinggi hari ini, mencerminkan perkembangan dalam isu Trump-Powell dan tarif perdagangan.
“Trump telah menjelaskan bahawa beliau tidak berniat untuk memecat Powell, walaupun beliau mahukan pendirian yang lebih proaktif dalam menurunkan kadar faedah.
“Mengenai tarif China, Trump menyatakan tarif AS yang kini pada kadar 145 peratus akan dikurangkan dengan ketara. Perkembangan ini telah meredakan kebimbangan pasaran, sekurang-kurangnya buat sementara waktu,” katanya.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing naik dua sen kepada RM9.97 dan RM4.39. Tenaga Nasional menambah sepuluh sen kepada RM13.50, CIMB meningkat lima sen kepada RM6.80, manakala IHH Healthcare menokok tiga sen kepada RM6.87.
Antara saham aktif, Pertama Digital naik 1.5 sen kepada 14 sen, Harvest Miracle Capital menambah setengah sen kepada 14 sen, MSB susut setengah sen kepada 16 sen, manakala Avangaad dan Ingenieur Gudang masing-masing kekal tidak berubah pada 28 sen dan 3.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 92.96 mata kepada 11,091.98, Indeks FBMT 100 naik 91.92 mata kepada 10,878.88, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 104.90 mata kepada 10,903.34, Indeks FBM 70 menambah 147.71 mata kepada 15,504.10, dan Indeks FBM ACE menambah 7.38 mata kepada 4,568.48.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 96.68 mata kepada 17,946.63, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.88 mata kepada 144.34, Indeks Tenaga menambah 5.99 mata kepada 660.42, dan Indeks Perladangan meningkat 30.03 mata kepada 7,246.35.- BERNAMA