fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu walaupun prestasi positif semalaman Wall Street di sebalik kenyataan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bahawa mengekalkan kadar faedah tinggi terlalu lama akan merugikan ekonomi AS / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Julai - Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu walaupun prestasi positif semalaman Wall Street di sebalik kenyataan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bahawa mengekalkan kadar faedah tinggi terlalu lama akan merugikan ekonomi AS.

Pada 9.03 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.09 mata kepada 1,614.33 daripada 1,614.42 semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.71 mata kepada 1,613.71.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 155 berbanding 129 dengan 315 kaunter tidak berubah, 1,821 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 114.74 juta unit bernilai RM51.09 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata peniaga akan memantau indeks harga pengguna AS akan datang dan data indeks harga pengeluar minggu ini untuk memahami hala tuju Fed AS.

Di pasaran komoditi, minyak Brent mentah berada di bawah AS$85 dalam persekitaran kebimbangan permintaan walaupun inventori minyak merosot minggu lepas manakala minyak sawit mentah merosot selama lima hari berturut-turut dan didagangkan di bawah RM4,000, katanya.

“Kebanyakan sektor berada dalam aliran meningkat kecuali sektor perladangan, pengguna dan telekomunikasi.

"Justeru, kami berpendapat bahawa pelabur mungkin memantau pemangkin pusat data dan pengumuman akan datang mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura," kata firma penyelidikan itu.

Pemangkin berkenaan akan meningkatkan minat untuk lebih banyak pendedahan dalam saham pembinaan, hartanah, bahan binaan dan utiliti.

“Selain itu, kami menyukai trend yang semakin pulih dalam kalangan saham sarung tangan yang mungkin merosot sepanjang tahun lepas,” katanya.

Saham wajaran tinggi Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing jatuh dua sen dan lapan sen kepada RM10.04 dan RM14.30 manakala CIMB menokok satu sen kepada RM6.98, Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM4.11 dan RM6.30.

Bagi kaunter paling aktif, Aimflex, Dataprep dan K-One Technology naik 0.5 sen masing-masing kepada 20.5 sen, 21.5 sen dan 33 sen, Cabnet melonjak 5.5 sen kepada 64.5 sen dan Minox menambah satu sen kepada 27 sen.

Johor Plantations Group Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia turun 0.5 sen kepada 89.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 1.15 mata kepada 12,474.03, Indeks FBMT 100 meningkat 0.90 mata kepada 12,046.83, Indeks FBM Emas Shariah menokok 4.14 mata kepada 12,832.27, Indeks FBM 70 menambah 7.26 mata kepada 18,471.36 dan Indeks FBM ACE menambah 19.03 mata kepada 5,969.29.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 9.09 mata kepada 17,700.68 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.03 mata kepada 200.12.

Indeks Tenaga menambah 0.21 mata kepada 984.78 dan Indeks Perladangan naik 4.46 mata kepada 6,936.58.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN