fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka meningkat dipacu aktiviti buru saham mewah

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 16 Mei- Bursa Malaysia melantun dan dibuka meningkat pada Jumaat, didorong oleh aktiviti memburu saham-saham mewah walaupun Wall Street mencatat prestasi semalaman yang bercampur-campur.

Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.22 mata atau 0.14 peratus kepada 1,575.24 daripada 1,573.02, semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka naik 2.58 mata lebih tinggi pada 1,575.60.

Sentimen pasaran hampir mendatar dengan 154 kaunter untung berbanding 161 rugi manakala 277 kaunter tidak berubah, 1,804 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 168.00 juta saham bernilai RM82.45 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur ketika peniaga cuba membuat pelarasan susulan penangguhan tarif 90 hari antara China dan Amerika Syarikat bagi memanfaatkan sentimen optimis namun berhati-hati itu.

Di peringkat tempatan, beliau berkata pasaran tempatan mungkin memerlukan pemangkin kukuh bagi membolehkan indeks penanda aras menguji paras 1,600 selepas gagal mengekalkan momentum positif sepanjang minggu ini.

"Setakat ini, kami melihat indeks itu berkemungkinan mencerminkan prestasi pasaran serantau yang amat terdedah kepada ketidaktentuan luar yang berterusan.

“Berikutan itu, kami menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,570-1,580 hari ini," katanya kepada Bernama.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM10.14, CIMB menokok tujuh sen kepada RM7.23, IHH Healthcare meraih satu sen kepada RM7.04, Public Bank kekal pada RM4.51 namun Tenaga Nasional jatuh enam sen kepada RM14.14.

Saham aktif menyaksikan West River meningkat 1.5 sen kepada 37 sen, Harvest Miracle dan Sumisaujana masing-masing naik setengah sen kepada 18 sen dan 19.5 sen, Fibromat meraih empat sen kepada 54.5 sen manakala SFP Tech turun setengah sen kepada 26 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 3.77 mata kepada 11,777.78, Indeks FBMT 100 meningkat 3.94 mata kepada 11,523.52 dan Indeks FBM ACE menokok 2.35 mata kepada 4,777.49.

Indeks FBM Emas Shariah turun 10.76 mata kepada 11,707.86 dan Indeks FBM 70 merosot 43.15 mata kepada 16,768.03.

Selain itu, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 43.41 mata kepada 18,513.90, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri berkurangan 0.35 mata kepada 159.44, Indeks Tenaga susut 6.34 mata kepada 731.00 dan Indeks Perladangan meningkat 7.45 mata kepada 7,395.55. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA