fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia catat sedikit penurunan selepas kenaikan awal

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 30 September- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Isnin tetapi mencatatkan sedikit penurunan berikutan sebahagian pelabur terlibat dalam aktiviti pengambilan untung dalam persekitaran sentimen berhati-hati di pasaran serantau, kata penganalisis.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.67 mata kepada 1,659.42 daripada 1,660.09 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.80 mata kepada 1,661.89.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 258 berbanding 219, dengan 304 kaunter tidak berubah, 1,701 tidak diniagakan dan 79 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 263.49 juta unit bernilai RM149.81 juta.

US Dow Jones Industrial Average naik 0.33 peratus pada Jumaat lepas, ditutup pada paras tertinggi pada 42,313.00.

Pada minggu ini, Malacca Securities Sdn Bhd menjangka peniaga akan memantau Indeks Pengurus Pembelian (PMI), senarai gaji bukan ladang dan tuntutan pengangguran Amerika Syarikat (AS).

“Selain itu, kami menjangka impak daripada pakej rangsangan China akan menawarkan peningkatan yang terhad berikutan lonjakan yang kukuh minggu lepas,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Berdasarkan ringgit yang kukuh, katanya sektor berorientasikan eksport seperti sarung tangan dan teknologi dijangka menyaksikan peningkatan yang terhad.

“Bagaimanapun, ringgit yang kukuh dijangka memberi manfaat kepada sektor yang dipacu oleh permintaan domestik seperti pengguna.

“Sektor pembinaan, hartanah, bahan binaan dan utiliti dijangka akan mendapat momentum daripada pembangunan pusat data dan pemangkin yang berkaitan dengan Johor dalam masa terdekat.

“Kami percaya pelabur akan mula melabur dalam sektor ini menjelang Belanjawan 2025,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 6.0 sen kepada RM10.56 manakala Public Bank, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare, masing-masing merosot 2.0 sen kepada RM4.57, RM14.64 dan RM7.18.

CIMB berkurangan 4.0 sen kepada RM8.20.

Dalam kalangan kaunter aktif, Pegasus dan Sanichi Tech, masing-masing kekal tidak berubah pada setengah sen dan 1.5 sen.

Capital A meningkat 4.5 sen kepada 98.5 sen manakala Sapura Energy merosot setengah sen kepada 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 1.52 mata kepada 12,385.08 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 4.77 mata kepada 12,308.27.

Indeks FBMT 100 jatuh 0.33 mata kepada 12,087.84, Indeks FBM 70 naik 16.54 mata kepada 17,455.02 dan Indeks FBM ACE meningkat 7.28 mata kepada 5,178.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 32.42 mata kepada 19,433.91, Indeks Tenaga susut 4.06 mata kepada 852.69, Indeks Perladangan naik 4.12 mata kepada 7,197.35 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.02 mata kepada 177.32.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE