fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia akhiri sesi dagangan tengah hari rendah

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 21 September- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi rendah sejajar dengan prestasi lemah pasaran serantau selepas ulasan daripada Rizab Persekutuan AS (Fed) mencetuskan kegiatan jualan di pasaran saham, kata peniaga.

Pada waktu rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.40 mata, atau 0.23 peratus kepada 1,448.16 daripada penutupan Rabu pada 1,451.56.

Indeks utama pagi ini bagaimanapun dibuka 1.21 mata lebih tinggi pada paras 1,452.77 dan kemudiannya berlegar antara 1,447.60 dan 1,453.97 sepanjang sesi dagangan pagi.

Pergerakan harga di pasaran pula menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 549 berbalas 274 manakala 425 kaunter tidak berubah, 1,126 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 1.78 bilion unit bernilai RM1.07 bilion.

Pada 12.30 tengah hari, Nikkei 225 Jepun susut 1.31 peratus kepada 32,591.67, Kospi Korea Selatan turun 1.67 peratus kepada 2,516.89 dan Indeks Hang Seng Hong Kong lemah 1.31 peratus kepada 17,651.44.

Indeks Straits Times Singapura pula menguncup 1.05 peratus kepada 3,207.94 manakala Indeks Komposit SSE China merosot 0.59 peratus kepada 3,090.31.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pasaran berkemungkinan mentafsirkan penyata dasar terkini Rizab Persekutuan secara negatif dan ini telah mencetuskan penjualan dalam pasaran saham.

Ia berkata Rizab Persekutuan memberi bayangan bahawa ia berpotensi menaikkan kadar faedah pada masa hadapan dan kadar faedah itu akan kekal tinggi untuk lebih lama.

"Bagaimanapun, kami percaya sokongan pembelian tematik akan disokong oleh pemangkin yang dipacu domestik seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP)," kata firma broker itu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM8.88, Public Bank menokok tiga sen kepada RM4.22 dan CIMB turun empat sen menjadi RM5.58. TNB susut dua sen kepada RM10.10 dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.30.

Bagi saham aktif, UEM Sunrise lemah dua sen kepada 89 sen manakala Top Glove Corp dan Ekovest masing-masing kerugian satu sen kepada 82 sen dan 56 sen manakala MQ Technology dan Meta Bright Group peroleh setengah sen kepada tiga sen dan 23 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 31.92 mata kepada 10,723.12, Indeks FBMT 100 kehilangan 30.96 mata kepada 10,389.59, Indeks FBM 70 susut 71.26 mata kepada 14,275.02 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 51.50 mata kepada 10,966.96.

Indeks FBM ACE pula menambah 5.31 mata kepada 5,209.44.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 11.83 mata kepada 16,230.22, Indeks Tenaga turun 15.19 mata kepada 888.94 dan Indeks Perladangan menguncup 51.62 mata kepada 6,927.09.

Indeks Perkhidmatan Produk Perindustrian susut 0.25 mata kepada 174.16.- BERNAMA


(FOTO HIASAN)

Media Baharu