fb fb fb fb fb

Belian semasa harga rendah dijangka pacu Bursa Malaysia minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 1 Februari- Bursa Malaysia dijangka menyaksikan peningkatan aktiviti perdagangan, didorong oleh sentimen lebih baik di pasaran serantau dan global berikutan pelabur bersiap sedia untuk membeli saham berharga rendah selepas musim perayaan, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran tempatan menyaksikan dagangan kecil ketika minggu dagangan singkat dan dijangka kembali aktif pada minggu akan datang.

"Indeks petunjuk pasaran kekal menghampiri zon terlebih jual walaupun terdapat peningkatan pada Jumaat. Oleh itu, kami menjangkakan belian semasa harga rendah akan berlaku minggu depan.

"Penilaian adalah berpatutan, dengan nisbah harga kepada pendapatan di bawah 14 kali berbanding purata lima tahun iaitu kira-kira 17 kali," katanya kepada Bernama sambil memaklumkan indeks utama dijangka bergerak dalam lingkungan 1,550 dan 1,580 pada minggu hadapan.

Bagi minggu baru berakhir, FBM KLCI kebanyakannya berkecenderungan rendah, dipengaruhi oleh prestasi perlahan di Wall Street berikutan kemunculan model kecerdasan buatan DeepSeek China, yang telah memberi kesan kepada sektor teknologi di samping sentimen berhati-hati ketika musim perayaan.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI merosot 16.81 mata kepada 1,556.92 berbanding 1,573.73 minggu lepas.

Indeks FBM Emas rendah 151.88 mata kepada 11,883.71, Indeks FBMT 100 merosot 149.62 mata kepada 11,575.90 dan Indeks FBM Emas Syariah menyusut 177.74 mata kepada 11,737.14.

Indeks FBM ACE merosot 15.46 mata kepada 5,195.07 manakala Indeks FBM 70 berkurangan 319.33 mata kepada 17,587.02.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 42.13 mata kepada 18,854.36, Indeks Perladangan berkurangan 73.85 mata kepada 7,345.60 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 3.32 mata kepada 165.37.

Indeks Tenaga susut 14.74 mata kepada 823.32, Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 20.96 mata kepada 2,162.21 dan Indeks Teknologi berkurangan 1.93 mata kepada 58.17.

Jumlah dagangan merosot kepada 6.42 bilion unit bernilai RM6.30 bilion daripada 15.58 bilion unit bernilai RM13.10 bilion minggu ini pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 3.34 bilion unit bernilai RM5.67 bilion berbanding 6.76 bilion unit bernilai RM10.97 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran susut kepada 2.00 bilion unit bernilai RM177.39 juta berbanding 5.18 bilion unit bernilai RM531.09 juta pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 1.07 bilion unit bernilai RM454.31 juta daripada 3.62 bilion unit bernilai RM1.59 bilion sebelumnya.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE