KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Belanjawan 2026 dijangka meneruskan momentum pengukuhan fiskal dengan matlamat untuk mencapai sasaran defisit kepada 3.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Jangkaan itu berpaksikan pertumbuhan hasil yang berterusan seiring dengan pengembangan ekonomi yang kukuh, bagi menyokong peningkatan perbelanjaan mengurus kerajaan.
“Perbelanjaan pembangunan dijangka kekal stabil, disokong oleh pelaburan domestik daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di bawah Program GEAR-uP, serta melalui projek kerjasama awam-swasta (PPP) dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI),” menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya hari ini.
Maybank IB menjangkakan tiada pengenalan cukai baharu utama seperti yang dilaksanakan pada tahun 2024 hingga 2025, kecuali Cukai Karbon yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2025. Pelaksanaannya akan bermula dengan industri besi dan keluli serta tenaga, di samping kemajuan dalam pelaksanaan Cukai Minimum Global (GMT) dan e-invois.
Bank itu turut menekankan potensi perluasan pelaksanaan rasionalisasi subsidi bersasar melangkaui sektor elektrik dan bahan api, bagi menangani ketirisan serta menamatkan subsidi sementara seperti gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, dan gula.
“Belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ini juga disasar memulakan langkah ekonomi dan sosial dengan memberi tumpuan kepada sokongan pendapatan, reformasi pasaran buruh, serta pelaburan infrastruktur dan pelaburan strategik,” jelas laporan itu.