KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Belanjawan 2026 akan memberi tumpuan kepada pengukuhan perlindungan sosial dan ketahanan isi rumah, di samping memperkukuh pelaburan dalam sektor semikonduktor, tenaga, pendigitalan, syarikat pemula serta industri masa depan.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, belanjawan yang bakal dibentangkan pada Jumaat ini akan menekankan dua teras utama, iaitu memperkukuh perlindungan rakyat dan memacu pertumbuhan masa depan negara.
“Belanjawan 2026 menumpukan keperluan rakyat melalui program seperti Budi 95 bagi memastikan subsidi lebih bersasar, membantu keluarga serta mengukuhkan masa depan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pada Forum Megatrends Khazanah (KMF) 2025, di ibu negara.
Tambah beliau, Belanjawan 2026 turut menjadi langkah permulaan kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang akan mengemudi hala tuju pembangunan negara dari tahun 2026 hingga 2030.
Malaysia, katanya, akan memacu semula agenda perindustrian melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), menerajui bidang semikonduktor, mempercepat peralihan tenaga serta memperkukuh pendigitalan dan inovasi.
Tegas beliau, semua strategi berkenaan dirangka bagi mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik, perniagaan yang kukuh serta masa depan lebih cerah untuk rakyat.
Datuk Seri Amir Hamzah turut menegaskan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, dengan pencapaian pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi dalam sejarah, pengukuhan nilai ringgit, peningkatan daya saing, kadar pengangguran menurun, serta kadar inflasi yang kekal rendah.