KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Tiada cukai baharu membabitkan rakyat dijangka diperkenalkan dalam Belanjawan 2026 yang bakal dibentang pada Oktober ini.
Ketua Ahli Ekonomi AmBank, Firdaos Rosli berkata kerajaan berkemungkinan mengekalkan pendekatan fiskal secara berperingkat dalam Belanjawan 2026 dan 2027, sejajar dengan corak belanjawan sebelum ini.
Usaha memastikan kesinambungan dasar sedia ada yang lebih mesra rakyat dijangka akan menjadi tumpuan pada Belanjawan kali ini.
Katanya, pencapaian positif kerajaan dalam mengurangkan kadar defisit fiskal sejak beberapa tahun lalu memberi ruang untuk perbelanjaan tambahan pada separuh kedua tahun ini.
Ketua Ahli Ekonomi AmBank, Firdaos Rosli
“Defisit fiskal negara telah menurun dan dijangka mencecah 3.8% pada akhir tahun ini. Ini memberikan ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan inisiatif baharu, khususnya yang berbentuk pro rakyat dan pro pertumbuhan,” katanya selepas sesi taklimat bersama media mengenai tinjauan makroekonomi, di sini.
Tambahnya, skim bantuan langsung seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berpotensi diperluaskan sekiranya keberkesanannya terbukti.
“Jika bantuan RM100 ini berjaya, ia mungkin dijadikan model dalam dasar akan datang kerana membolehkan kerajaan menyalurkan dana terus kepada rakyat tanpa melalui pihak ketiga,” katanya.