fb fb fb fb fb

Bank Rakyat umum dividen 17 peratus, bayaran cecah RM486 juta

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 April- Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 17 peratus bagi tahun kewangan 2024, melibatkan jumlah agihan sebanyak RM486.32 juta kepada 773,859 anggota bermula hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, Bank Rakyat berjaya mengekalkan kadar dividen dua digit untuk tempoh melebihi dua dekad, selari dengan prestasi kewangan dan mandat yang digalas oleh institusi kewangan koperasi itu.

“Saya percaya pencapaian ini adalah hasil daripada komitmen Bank Rakyat dalam melaksanakan mandat yang dipertanggungjawabkan untuk memperkasa kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya, sekali gus memberikan kesaksamaan dan kemakmuran kepada semua peringkat masyarakat.

"Pembayaran dividen yang akan dilakukan mulai 16 April ini bukan sahaja mencerminkan prestasi kewangan yang dicapai, tetapi juga merupakan simbol penghargaan Bank Rakyat terhadap kepercayaan dan sokongan padu yang telah diberikan oleh anggota kepada Bank Rakyat saban tahun," katanya.

Tambah beliau, Bank Rakyat turut menyalurkan sumbangan RM36.43 juta atau dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi, serta RM18.22 juta kepada Kumpulan Amanah Pembangunan Koperasi.

Secara keseluruhan, jumlah sumbangan Bank Rakyat bagi tahun 2024 mencecah RM54.65 juta, meningkat berbanding RM53.21 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Pengumuman tersebut dibuat dalam satu majlis khas yang diadakan di ibu negara, hari ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE