fb fb fb fb fb

Bank Muamalat, Universiti INCEIF tingkatkan industri kewangan islam

Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menjadi bank Islam pertama bekerjasama dengan Universiti Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dalam memacu industri kewangan Islam ke tahap baharu / Foto Bank Muamalat

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menjadi bank Islam pertama bekerjasama dengan Universiti Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dalam memacu industri kewangan Islam ke tahap baharu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata sebagai manifestasi menyatakan kerjasama tersebut, Bank Muamalat telah memperkenalkan Pembiayaan Pendidikan Muamalat secara eksklusif untuk program terpilih di Universiti INCEIF.

"Pembiayaan pendidikan ini menawarkan sehingga RM100,000 kepada pelajar lepasan ijazah yang mengikuti program Sijil Profesional, Sarjana, PhD, dan program yang setaraf dengannya di Universiti INCEIF.

"Terbuka kepada semua pelajar Malaysia yang layak berumur 18 tahun dan ke atas dengan jumlah pendapatan minimum RM3,000, dengan kadar efektif pengenalan yang menarik pelajar boleh memohon pembiayaan secara terus di cawangan Bank Muamalat atau secara dalam talian melalui Platform Aplikasi Muamalat (MAP)," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bank Muamalat dan Universiti INCEIF, di sini.

Tambah Khairul, kerjasama diantara Bank Muamalat dan Universiti INCEIF merupakan kebangaan institusi perbankan itu dimana universiti itu merupakan satu-satunya universiti di dunia yang menumpukan secara eksklusif kepada pendidikan kewangan Islam dan diiktiraf oleh Persatuan untuk Memajukan Sekolah Perniagaan Berkolej (AACSB).

“Sebagai peneraju dalam sektor Perbankan Islam, komitmen kami melangkaui bantuan kewangan, untuk merangkumi cita-cita pelanggan dan aspirasi negara untuk menjadi hab global terkemuka bagi kewangan Islam.

"Kerjasama ini bukan sahaja memperkasakan pelajar yang bercita-cita tinggi melalui pendidikan dan pembangunan bakat tetapi juga mendorong kemajuan industri kewangan Islam," katanya.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti INCEIF, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohd Azmi Omar berkata dalam mewujudkan pusat pendidikan, penyelidikan dan latihan bertaraf dunia dalam kewangan Islam (IF) perkara penting yang perlu ada ialah kerjasama antara industri dan ahli akademik.

"Sambil kami berusaha untuk membawa IF ke dalam arus perdana kewangan, kami berharap dapat menjalin usaha bersama pemegang kepentingan IF yang lain untuk meningkatkan kedinamikannya, salah satunya adalah melalui bekalan tenaga mahir yang disediakan industri dan responsif industri yang stabil.

"MoU ini menandakan lebih daripada sekadar perjanjian rasmi, ia adalah bukti komitmen bersama kami untuk memupuk bakat dan mempromosikan kecemerlangan dalam kewangan Islam," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN