fb fb fb fb fb

Aset rizab Malaysia US$123.76 bilion setakat akhir Oktober - BNM

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 November - Aset rizab rasmi negara setakat 31 Oktober berjumlah US$123.76 bilion, manakala aset mata wang asing lain mencatatkan US$201.6 juta.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan menjelaskan, pemakluman terperinci disediakan mengikut Piawaian Penyebaran Data Khas (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang merangkumi maklumat mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab.

"Ia turut menyediakan jangkaan aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan bank pusat untuk tempoh 12 bulan akan datang.

"Keseluruhannya rizab antarabangsa Malaysia ini tetap boleh guna pada akhir Oktober 2025," menurut BNM.

Tambah bank pusat itu, bagi tempoh setahun ke hadapan aliran keluar jangka pendek yang dikenal pasti untuk deposit, sekuriti dan pinjaman mata wang asing termasuk pembayaran balik pinjaman luar negeri kerajaan serta kematangan Bil Antara Bank BNM berjumlah US$14.17 bilion.

Kedudukan jualan hadapan bersih pula ialah US$20.64 bilion, manakala unjuran aliran masuk mata wang asing bagi tempoh 12 bulan berjumlah US$2.77 bilion.

Satu-satunya aliran keluar kontingensi yang dikenal pasti ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri yang matang dalam tempoh setahun, berjumlah US$417 juta.

"Rizab negara tidak melibatkan pinjaman berunsurkan opsyen atau kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan, dan bank pusat tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit," jelas BNM.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN