KUALA LUMPUR, 22 Disember - ASEAN dan China perlu terus memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan kestabilan, pertumbuhan inklusif dan kesejahteraan serantau dalam mendepani perubahan geopolitik global yang semakin kompleks.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata perancangan jangka panjang menjadi instrumen strategik dalam menangani ketidaktentuan global, transformasi sosial serta kemajuan teknologi pesat.
"Malaysia mengutamakan pendekatan libat urus konstruktif melalui dialog berstruktur bagi memahami keutamaan rakan strategik dan meneroka kerjasama bermakna dalam perdagangan, pelaburan, teknologi,daya tahan iklim dan hubungan rakyat dengan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis New Blueprint, New Horizons: Briefing on China’s 15th Five-Year Plan, di ibu negara.
Tan Sri Dr Johari menegaskan hubungan Dialog ASEAN–China yang terjalin sejak lebih tiga dekad lalu telah membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua pihak, berasaskan kepercayaan dan kepentingan bersama.
ASEAN turut mengalu-alukan kemajuan Perkongsian Strategik Komprehensif, termasuk Pelan Tindakan 2026–2030 sebagai asas penting ke arah merealisasikan ASEAN 2045 .
Pemeteraian Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA) 3.0 pada Oktober lalu disifatkan sebagai langkah tepat bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serantau dan membuka peluang
kerjasama baharu.
Pada masa sama Tan Sri Dr Johari turut menekankan kepentingan kerjasama pembangunan mampan, khususnya tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau, selain memperluas hubungan rakyat dengan rakyat demi kestabilan dan kemakmuran rantau ini.