KUALA LUMPUR, 9 November - Pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia-Amerika Syarikat (AS) berupaya menyokong sasaran dan objektif yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ketua Penyelidik Ekonomi TA Securities, Shazma Juliana Abu Bakar berkata, kesan sebenar daripada perjanjian tersebut dijangka dapat dilihat dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, selari dengan fasa pelaksanaan RMK13 yang bermula pada tahun 2026 hingga 2030.
Perjanjian ART dijangka mampu mempercepat transformasi ekonomi negara ke arah status berpendapatan tinggi serta menyokong sasaran Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2030.
"Salah satu yang dapat kita lihat ialah kemasukan pelaburan asing, contohnya dari Amerika Syarikat, yang akan membawa pelaburan berasaskan teknologi tinggi.
''Untuk mencapai status negara maju, kita perlu memenuhi beberapa kriteria, antaranya dari segi teknologi. Apabila pelaburan ini mula masuk, kita akan dapat melihat transformasi Malaysia daripada keadaan sekarang ini kepada sebuah negara berstatus tinggi,” katanya kepada pemberita RTM.
Pada 26 Oktober lalu, Malaysia dan AS menandatangani Perjanjian ART sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Pemeteraian tersebut membolehkan sehingga 1,711 produk Malaysia termasuk minyak sawit, getah dan koko serta beberapa komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa dieksport ke AS pada kadar tarif lebih rendah daripada 19 peratus.